ENGKAULAH apa yang engkau fikirkan... . begitulah ungkapan yang menjadi lirik lagu yang sering didendangkan oleh pelajar. Ungkapan di atas bermaksud fikiran membentuk keperibadian individu.
Kita sentiasa menggunakan fikiran ketika belajar, berbincang, bermain malah ketika tidur juga fikiran kita terus berfungsi, tambahan pula apabila bulan peperiksaan hampir tiba. Berbagai-bagai perkara yang difikirkan sama ada yang menyeronokkan atau yang mendukacitakan.
Apabila kita memikirkan sesesuatu yang menyeronokkan, wajah akan menjadi ceria, anggota badan menjadi ringan serta rajin untuk bergerak, jiwa merasa lega kerana tidak menanggung derita dan akhirnya diri akan lebih bersemangat untuk bertindak. Sebagai contoh jika ketika belajar kita memikirkan tentang kejayaan yang bakal kita kecapi, maka sudah tentu apa sahaja kesukaran yang mungkin kita temui dapat diselesaikan walaupun terpaksa bersusah payah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.
Sebaliknya jika fikiran kita sentiasa memikirkan tentang masalah yang mendukacitanya kita, maka wajah akan menjadi murung, anggota badan menjadi berat dan malas untuk bergerak, jiwa sentiasa resah serta terseksa dan akhirnya tidak mempunyai semangat untuk bertindak.
Sebagai contoh walaupun hanya sedikit kesukaran yang ditemui ketika belajar ia tidak mungkin dapat diselesaikan jika fikiran kita sentiasa memikirkan perkara-perkara yang negatif seperti kegagalan yang akan ditemui atau rintangan yang diluar daripada kesanggupan diri untuk menyelesaikannya.
Dari dua situasi di atas jelas menunjukkan bahawa pemikiran itu menguasai tindakan di mana akhirnya membentuk keperibadian seseorang.
Justeru, kita perlulah sentiasa berfikiran positif iaitu kita perlulah beranggapan bahawa apa sahaja masalah yang mungkin timbul dapat diselesaikan melalui usaha yang gigih. Setiap tindakan harus dilakukan secara terancang tanpa tergesa-gesa. Kejayaan tidak akan timbul dalam sekelip mata tetapi perlu mengejarnya secara berterusan tanpa berputus asa. Oleh itu jangan ketinggalan masa, bertindaklah segera....anda pasti berjaya!
No comments:
Post a Comment