RAMLAN dan anaknya Amin yang berusia lapan tahun sedang berehat sambil menonton televisyen selepas makan malam. Sambil menonton televisyen, Ramlan dua beranak berbual-bual sementara isteri dan anaknya yang seorang lagi, mengemas di dapur.
Amin: Ayah! Kenapa orang besar pun suka main bidas? Mereka bidas orang pulak tu. Dalam berita tv ada kata, menteri bidas ahli parlimen pembangkang dan ahli Parlimen pembangkang pun ada yang bidas orang kerajaan. Mereka ini main bidas-bidas ke?
Ramlan: Mestilah, kadang-kala ada tindakan seseorang itu yang kita tak suka lepas itu kita bidaslah. Tapi itu cara kasar, kurang sopan, sebaiknya cakap aje baik-baik. Tapi memang dalam Parlimen mereka saling membidas.
Amin: Bila kita tak suka pada orang tu, kita boleh bidas, ya yah? Tak kena marah ke? Amin geram betul dengan Meli tu, dia selalu kacau kami main. Mentang-mentanglah badan dia besar, dia asyik nak buli kami je. Tu yang Amin rasa nak bidas je dia.
Ramlan: Bidas sikit-sikit tu bolehlah, tapi jangan lebih-lebih sangat, nanti bergaduh. Masa sembang dengan dia, bila ada topik yang sesuai, bidaslah sikit-sikit.
Amin: Tak pernah pun sembang dengan dia. Datang aje, mulalah kacau kami main. Selalunya kami terus pergi main tempat lain.
Ramlan: Kalau tak sembang macam mana nak bidas. Kalau nak bidas dia, Amin kena sembang dengan dia dulu. Masa tulah baru boleh bidas.
Amin: Esok Amin nak ajak kawan-kawan tunggu dia kat taman. Kalau dia datang, kami bidas dia ramai-ramai. Biar bengkak-bengkak kepala dia, padan muka.
Ramlan: Macam mana pulak boleh bengkak kepala kena bidas? Kan ayah dah kata tadi, jangan bergaduh.
Amin berlari masuk ke biliknya dan beberapa ketika kemudian keluar dengan membawa sesuatu di tangannya.
Ramlan: Ya Allah! Benda apa ni Amin! Mana dapat benda ni? Ini lastiklah Min, bahaya main ni kat kawasan perumahan. Siapa yang ajar Min main lastik?
Amin: Ini bukan lastiklah ayah! Sema’e kata benda ni bidas. Sema’e yang buatkan untuk Amin. Dia tu budak baru pindah kat lorong depan, pindah dari Kelantan, ayah dia cikgu.
Ramlan: Ya, Allah! Ini ke yang anak aku maksudkan dengan bidas? Habislah pecah tingkap rumah dan cermin kereta orang. Hey Amin! Bak sini benda tu, benda ni tak boleh main, bahaya! Jom kita pergi rumah kawan Amin tu, ayah nak bercakap sikit dengan ayah dia.
Bidas
- kecam
- lastik (dialek Kelantan dan Terengganu)
No comments:
Post a Comment