Wednesday, February 18, 2009

Bahasa Melayu @ Malaysia

Mewah Bahasa: 'Kena gigit semut?! Habislah kaki anak saya bengkak!'

PADA satu petang di sebuah taman asuhan kanak-kanak di pinggir bandar raya, Puan Zai menjemput anak sulungnya yang baru berusia dua tahun. Di muka pintu, Puan Zai disambut oleh Raihan, seorang pembantu yang bekerja di taman asuhan terbabit.


Puan Zai: Assalamualaikum, macam mana anak saya hari ni? Tak meragam ke dia? Selalunya hari Isnin dia buat hal, maklumlah dah dua hari bermanja dengan mamanya di rumah.

Raihan: Mualaikum salam. Hari ni elok pulak dia, langsung tak meragam. Lina tengah pakaikan baju. Baru lepas mandi. Biar saya pergi ambil. Tapi tadi dia nangis sikit, agaknya kaki dia kena semut-semut sebab masa tidur, dia mengiring, kaki kirinya tertindih.


Puan Zai: Kena gigit semut?! Habislah kaki anak saya bengkak! Tak sapu ubat ke? Anak saya dahlah sorang tu, saya punyalah jaga dia betul-betul kat rumah. Tak ada seko nyamuk pun yang pernah sentuh dia tau! Di sini boleh kena gigit semut?! Macam mana engkorang jaga hah! Saya bayar mahal tau, bukannya free! Dah tau tempat ni tempat jaga baby dan kanak-kanak, kenapa tak jaga betul-betul? Bersihlah sikit, kalau bersih tak adalah semut. Sekarang dah bengkak kena gigit semut. Siapa nak tanggungjawab?


Raihan: Eh! Kenapa tiba-tiba aje marah-marah ni? Siapa yang kena gigit semut? Saya nak ambil anak puanlah ni, tunggulah sekejap.

Puan Zai: Hoi! Loyar buruk pulak budak ni! Tadi awak yang kata, anak saya kena gigit semut. Sekarang buat-buat tak tau pulak. Saya lapor dekat bos awak baru tahu. Saya boleh bawa kes ini ke kementerian tau! Tutup nursery ni, baru padan muka, semua tak ada kerja!

Mendengar kekecohan yang berlaku, Puan Nuris, tuan punya pusat asuhan kanak-kanak terbabit keluar dari bilik dan pergi mendapatkan Puan Zai dan Raihan.

Puan Nuris: Kenapa ni Puan Zai? Kecoh sangat saya dengar. Anak puan buat perangai lagi ke?

Puan Zai: Cakap baik sikit ya, Puan Nuris! Jangan nak tuduh-tuduh anak saya buat perangai. Ni ha! Budak awak ni! Dia biarkan anak saya kena gigit semut, lepas itu, dia nafikan pulak. Dia nak main-main dengan saya, saya laporkan pada kementerian nanti, ha! Baru tahu, tutup nursery ni nanti.

Puan Nuris: Raihan! Betul ke anak Puan Zai ini kena gigit semut?

Raihan: Tak adalah kak, anak Puan Zai ni tak ada kena gigit semut pun. Tak ada semut kat sini. Saya sentiasa jaga kebersihan tempat ini.

Puan Zai: Hah! Tengok tu! Budak ni nak menipu lagi, tadi dia yang kata anak saya kena gigit semut. Nak main-main pulak dia….

Raihan: Memang tadi saya ada cakap anak Puan ni menangis sikit, mungkin kakinya kena semut-semut masa tidur. Saya tak ada cakap pun dia kena gigit semut.

Puan Nuris: Oooo, semut-semut. Bukan kena gigit semut?.... Puan Zai, saya minta maaf, sebenarnya salah faham. Raihan ni cuba beritahu anak Puan menangis sikit tadi, mungkin sebab kakinya kebas, bukan digigit semut. Maaflah Puan Zai, ya?! Dia ni anak saudara suami saya dari kampung, walaupun dah lama duduk KL ni, kadang-kadang keluar juga gaya kampungnya.

Puan Zai: Oh, gitu ke?! Raihan, maafkan akak ya, tadi tertinggi sikit suara.

Raihan: Tak apa Puan, saya dah biasa kena macam ini. Saya faham….

  • Semut - sejenis serangga yang merayap
  • Semut-semut - berasa kebas

No comments:

Post a Comment