Francis Light bukan orang pertama buka Pulau Pinang? (from utusan.com.my)
SEJARAH pembukaan Pulau Pinang perlu dikaji semula bagi memastikan kesahihan dakwaan bahawa orang Melayu terlebih awal meneroka pulau itu berbanding Francis Light pada 1986.
PERKARA berkaitan sejarah seperti ‘memperbetulkan' fakta, acap kali mendapat perhatian kerajaan-kerajaan di dunia, media, ahli politik, keturunan sesuatu bangsa, sehingga ke peringkat individu berkaitan subjek yang dibahaskan.
Sering kali juga, sesebuah diskusi sejarah menarik minat orang perseorangan yang merasakan diri terlibat dengan subjek itu, sekurang-kurangnya berdasarkan sentimen-sentimen tertentu.
Dalam kes-kes yang ekstrem, pertikaian sesuatu fakta sejarah membawa kepada pertempuran angkatan-angkatan tentera kerajaan berjiran, seperti yang tercetus di antara Kemboja dengan Thailand beberapa bulan lalu.
Konflik berkenaan merupakan rentetan daripada perbalahan puluhan tahun berhubung pemilikan sebuah kawasan hutan dekat Candi Preah Vihear, di sempadan kedua-dua negara.
Pertikaian itu ‘hidup semula’ selepas kuil purba berkenaan diisytihar sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun ini.
Berdasarkan contoh itu, pembaca mampu membayangkan betapa sensitif serta kompleksnya usaha untuk menyelesai dan membuktikan sesuatu fakta sejarah.
Kerana itu juga, para sejarawan serta pihak berkuasa dipercayai menangguhkan penyelesaian sesuatu tuntutan tersebut, sehingga kadang-kala ‘terlupa untuk mengkajinya kembali.
Tetapi bagi Profesor Dr. Ahmad Murad Merican, kerumitan merungkaikan sesuatu fakta sejarah adalah perkara yang mencabar tahap intelek dan ketahanan fizikal seseorang, serta mengujakan.
“Lebih penting, memperbetulkan fakta sejarah adalah usaha untuk meletakkan sesuatu kepada haknya,” katanya kepada Mega di Batu Bara, baru-baru ini.
Mengakui bahawa sejarah bukanlah bidang kemahirannya, pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas itu tidak gentar untuk berhadapan dengan tanggapan yang mengatakan beliau tidak layak memperkatakan sesuatu isu sejarah.
“Saya telah mengkaji sejarah pembukaan Pulau Pinang sejak akhir tahun 1990-an lagi dan kaedah (mengkaji) yang saya gunakan adalah sama dengan sejarawan lain.
“Apa yang saya dapati, pulau (Pinang) itu telah didiami oleh Dato’ Jenaton Bin Raja Labu sejak tahun 1749,” tegasnya.
Justeru beliau mendakwa, catatan sejarah bahawa Pulau Pinang dibuka oleh kelasi Inggeris, Francis Light pada 1786 tidak boleh diterima.
Menurutnya, sejarah itu adalah ‘resipi’ British yang menidakkan pembukaan Pulau Mutiara tersebut oleh orang Melayu.
Keluarga Dato’ Jenaton
Dengan bukti-bukti sejarah seperti buku, artikel dan salasilah, Ahmad Murad memberitahu, Dato’ Jenaton berasal dari Pagar Ruyung di Sumatera, Indonesia, sebelum beliau berpindah pula ke Batu Bara yang juga terletak di Sumatera.
Menurutnya, pasangan Dato’ Jenaton dengan isteri pertamanya, Ambun Suri dari Pagar Ruyung tidak dikurniakan anak.
“Kemudian, apabila berhijrah ke Baru Bara, Dato’ Jenaton berkahwin pula dengan Tuan Gadih atau Cik Puang, anak pembesar di sana dan dikurniakan seorang anak,” tambahnya.
Ahmad Murad mendakwa, selepas berhijrah dan membuka Pulau Pinang pada tahun 1749, Dato' Jenaton melalui perkahwinan ketiganya dengan seorang wanita berketurunan Arab-China, seterusnya dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.
Namun, satu perkara yang dikesalkan Ahmad Murad dan seorang lagi pengkaji sejarah Pulau Pinang serta salasilah Dato’ Jenaton, Fazil Shuhaimi Talib, nama isteri ketiga individu yang membuka Pulau Pinang seperti didakwa mereka itu sehingga kini masih belum ditemui.
“Namun kita akan terus mengkaji dan mendapatkan nama individu wanita, isteri ketiga Dato Jenaton itu kerana beliau merupakan asal-usul keturunan Dato’ Jenaton di Malaysia, termasuk kami,” ujar Fazil.
Ahmad Murad dan Fazil yang juga sepupunya boleh dikatakan dua ‘orang kuat’ dalam mencari, melengkap dan memperbetulkan sejarah Dato’ Jenaton, seterusnya membawa kepada penubuhan sebuah persatuan tidak berdaftar dinamakan Jawatankuasa Keluarga Dato' Jenaton pada tahun 2002.
Berdasarkan salasilah yang dikemukakan kepada penulis, mereka berdua merupakan generasi keenam waris Dato’ Jenaton hasil perkahwinan dengan isteri ketiganya di Pulau Pinang sekitar pertengahan 1950-an.
Salasilah itu juga mencatat beberapa nama besar waris Dato’ Jenaton di sini seperti Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique ; Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh.
Rozali merupakan pengerusi jawatankuasa keluarga itu, sementara presidennya pula ialah Rahmah Abdul Aziz dan Ahmad Murad serta Fazil merupakan ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.
Akhir bulan lalu, seramai 30 orang daripada kira-kira 500 ahli persatuan itu di Malaysia telah ke Batu Bara untuk berjumpa dan bermesra dengan waris Dato’ Jenaton di sana.
Waris-waris Dato’ Jenaton dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu juga berkesempatan melawat pusara, bangunan serta tinggalan yang mempunyai kaitan dengan individu itu atau warisnya.
Di sana, perancangan perjalanan program lawatan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan wakil keluarga Dato’ Jenaton sebelah Indonesia, M. Yusuf Morna atau dikenali dengan panggilan Buyung.
Fazil dan Buyung bertemu di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor secara serius pada tahun 2005 selepas Fazil beberapa kali melawat Sumatera untuk mencari waris Dato’ Jenaton di sana.
“Setelah kami diperkenalkan melalui seorang kawan, saya dengan Fazil pada awalnya bertengkar membincangkan identiti Dato’ Jenaton.
“Ini kerana kajian kami (waris Jenaton di Indonesia) mendapati individu yang dimaksudkan bernama Jenan dan bukannya Jenaton seperti didakwa Fazil namun kami akhirnya sepakat bahawa individu yang dicari adalah orang yang sama,” jelas Buyung.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
betul ke?? x sangka..Alhamdulillah fauzi sebab ALLAH dah temukan akak dgn ko..x sia2 akak kawan sama ko..bnYk ilmu akak dapat..
ReplyDelete